KUALA LUMPUR, 10 November - Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) hari ini mengeluarkan nasihat berhubung Taufan Fung-Wong yang dikesan berada kira-kira 129 kilometer (km) ke barat daya Vigan City, Filipina, awal pagi tadi.
Dalam kenyataannya, MetMalaysia memaklumkan bahawa taufan tersebut bergerak ke arah barat laut dengan kelajuan 30 km sejam (km/j), dengan kelajuan angin maksimum direkodkan sebanyak 120 km/j.
“Taufan Fung-Wong kini berada pada kedudukan latitud 17.4 darjah utara dan longitud 119.2 darjah timur, iaitu kira-kira 1,196 km ke timur laut Kudat, Sabah,” menurut kenyataan itu.
Keadaan tersebut berpotensi menyebabkan berlakunya tiupan angin kencang serta laut bergelora di beberapa kawasan perairan Laut China Selatan.
Selain itu, MetMalaysia turut mengeluarkan amaran ribut petir, hujan lebat dan angin kencang yang dijangka berlaku di beberapa negeri sehingga pukul 12 tengah hari ini.
Antara kawasan yang dijangka terjejas di Kedah ialah Langkawi, Kubang Pasu, Kota Setar, Pokok Sena, Yan, Pendang, Kuala Muda, Kulim dan Bandar Baharu.
Di Perak, kawasan terlibat meliputi Kerian, Larut, Matang dan Selama, Manjung, Perak Tengah, Bagan Datuk serta Hilir Perak.
Sementara itu, di Selangor, cuaca buruk dijangka berlaku di Sabak Bernam, Hulu Selangor, Gombak, Petaling, Hulu Langat dan Sepang.
Bagi Negeri Sembilan, amaran dikeluarkan untuk daerah Jelebu dan Seremban, manakala di Johor, kawasan terlibat ialah Muar, Batu Pahat, Pontian, Kulai, Kota Tinggi dan Johor Bahru.
Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya, serta Perlis dan Pulau Pinang, turut dijangka mengalami hujan lebat dan ribut petir.
Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan agar sentiasa berwaspada dan memantau perkembangan cuaca terkini melalui portal rasmi MetMalaysia, aplikasi myCuaca, serta saluran media sosial rasmi jabatan berkenaan.
Sumber: Suara Sarawak
Sertai Telegram kami untuk mendapat berita-berita terkini
Back