RIYADH, 6 Nov - Bintang Al-Nassr, Cristiano Ronaldo, menegaskan bahawa dia tidak menganggap Lionel Messi sebagai pemain bola sepak terhebat sepanjang zaman (GOAT), dalam satu temu bual eksklusif bersama hos terkenal, Piers Morgan.
Dalam sesi temubual tersebut, penyerang berusia 40 tahun itu turut berkongsi pandangannya tentang kehidupan di Arab Saudi serta pendiriannya terhadap perdebatan panjang antara dirinya dan kapten Argentina itu.
“Messi lebih hebat daripada saya? Saya tidak setuju dengan pandangan itu. Saya tidak mahu berpura-pura merendah diri,” kata Ronaldo dalam program Piers Morgan Uncensored.
Ronaldo menegaskan bahawa pencapaiannya sepanjang karier sudah cukup untuk membuktikan statusnya sebagai salah seorang pemain terbaik dunia.
Selama lebih sedekad, peminat bola sepak di seluruh dunia berdebat tentang siapa yang lebih hebat antara dua ikon ini. Kini, kedua-duanya berada di penghujung karier, Ronaldo terus memburu kejuaraan di Timur Tengah bersama Al-Nassr, manakala Messi meneruskan karier di Major League Soccer (MLS) bersama Inter Miami milik David Beckham.
Walaupun sering dibandingkan, kedua-dua legenda ini jarang mengeluarkan kenyataan negatif antara satu sama lain sepanjang era dominasi mereka, yang menyaksikan pelbagai kejayaan termasuk gelaran La Liga, Liga Juara-Juara, serta Ballon d’Or.
Namun, kenyataan terbaharu Ronaldo itu menandakan pendirian jelasnya dalam perdebatan GOAT yang telah berlarutan lebih 10 tahun.
Dalam pratonton temu bual tersebut, Ronaldo turut diminta mengulas mengenai kenyataan bekas rakan sepasukannya di Manchester United, Wayne Rooney, yang pernah menyifatkan Messi sebagai pemain terbaik dunia.
“Mereka dua pemain berbeza, tetapi saya fikir Messi luar biasa. Dia yang terbaik sepanjang zaman,” kata Rooney ketika itu.
Ronaldo bagaimanapun tidak melatah dan menjawab ringkas:
“Ia tidak menjadi masalah bagi saya.”
Rooney kemudian menjelaskan pendapatnya dalam satu podcast bersama Rio Ferdinand:
“Orang fikir saya benci dia, tapi sebenarnya saya kagum dengannya. Ronaldo seorang genius walaupun sudah 40 tahun, apa yang dia lakukan masih luar biasa.”
Musim ini, Ronaldo terus membuktikan ketajamannya dengan sembilan gol dalam 10 penampilan untuk Al-Nassr dalam semua pertandingan.
Sejak berpindah dari Manchester United pada 2022, bintang Portugal itu masih memburu kejuaraan utama di Arab Saudi dengan Piala Dunia kekal sebagai satu-satunya trofi besar yang belum pernah dimenanginya.
Buat masa ini, fokus Ronaldo kekal bersama kelabnya, yang kini mendahului Liga Pro Saudi selepas tujuh perlawanan, empat mata di hadapan pencabar terdekat, Al-Taawoun.
Sumber: Berita Harian
Sertai Telegram kami untuk mendapat berita-berita terkini
Back