KUCHING, 4 Nov – Orang ramai yang masih memiliki kupon letak kereta sah di bawah Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) dan Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) boleh memulangkan kupon berkenaan mulai sekarang hingga 30 November 2025.
Menurut kenyataan bersama DBKU dan MBKS, pemulangan boleh dibuat di Pejabat Kuching City Parking System (KCPS), Aras Bawah, Lot 9688 dan 9692, Jalan Datuk Abang Abdul Rahim, Kuching.
Pihak berkuasa tempatan itu menggalakkan pemegang kupon membuat tuntutan lebih awal bagi mengelakkan kesesakan menjelang tarikh akhir.
Kupon yang layak ditebus ialah baki pembelian antara 1 Januari hingga 31 Oktober 2025, dengan siri nombor sah berikut:
- 20 sen: AP05530001 – AP09530000
- 50 sen: BB3426001 – BB3506000
- 80 sen: CB0750001 – CB0780000
Mulai 1 November 2025, sistem letak kereta berasaskan kupon akan dihentikan sepenuhnya dan digantikan dengan Sistem Letak Kereta Pintar Kuching (Kuching Smart Parking System).
Pelaksanaan sistem baharu itu bertujuan meningkatkan kemudahan pengguna, memperkukuh kecekapan penguatkuasaan, serta menyokong aspirasi menjadikan Kuching sebuah bandar raya pintar dan mampan.
DBKU dan MBKS turut merakamkan penghargaan kepada orang awam atas kerjasama dan kefahaman sepanjang tempoh peralihan sistem berkenaan.
Sumber: TVS
Sertai Telegram kami untuk mendapat berita-berita terkini
Back