Pelumba muda negara, Hakim Danish Ramli, bakal mencipta sejarah baharu apabila menyertai MSI Racing Team dalam saingan Moto3 musim 2026 sekali gus menamatkan penantian panjang peminat sukan permotoran tempatan untuk melihat wakil tetap Malaysia kembali beraksi di Kejuaraan Motosikal Dunia (MotoGP).|
Hakim, yang berusia 18 tahun dan berasal dari Terengganu, kini menggalas misi besar memburu gelaran ‘Rookie of the Year’ pada musim pertamanya di pentas dunia.
Ketua Pegawai Eksekutif Litar Antarabangsa Sepang (SIC), Azhan Shafriman Hanif, mengakui yakin dengan potensi luar biasa pelumba muda itu, namun mengingatkan agar Hakim mengekalkan disiplin dan fokus tinggi sepanjang musim.
“Saya fikir dia mampu lakukannya (Rookie of the Year), tapi kita kena sedar Moto3 sangat kompetitif. Pelumba lain juga datang dengan kelajuan dan pengalaman hebat,” katanya.
Menurut Shafriman, analisis perlumbaan Grand Prix (GP) Malaysia baru-baru ini menunjukkan catatan masa Hakim hampir menyamai juara musim lalu bukti keupayaan sebenar anak didik kepada bekas pelumba negara, Zulfahmi Khairuddin.
Namun, masalah mekanikal pada jentera KTM yang dipandunya menyebabkan Hakim terpaksa menamatkan perlumbaan lebih awal.
“Pesanan saya kepada Hakim: terus kekalkan disiplin, fokus dan buktikan kemampuan. Buat kami semua di Malaysia bangga. Harap pasukan juga lebih teliti dan pastikan jentera benar-benar kompetitif untuk bersaing di barisan hadapan,” tambahnya.
Musim depan, Hakim akan mengambil alih jentera Angel Piqueras, pelumba Sepanyol yang kini bakal naik ke kelas Moto2.
Lebih menarik, Hakim menerima tajaan penuh daripada MSI Racing Team termasuk bonus tambahan prestasi, dan akan bergandingan dengan pelumba Jepun, Ryusei Yamanaka.
Dengan semangat juang tinggi dan sokongan penuh rakyat Malaysia, Hakim Danish kini menjadi simbol kebangkitan baharu sukan permotoran negara di pentas dunia.
Sumber: Kosmo Online!
Sertai Telegram kami untuk mendapat berita-berita terkini
Back