KUALA LUMPUR, 14 Okt – Jaguh para powerlifting negara, Bonnie Bunyau Gustin, terus membuktikan kehebatannya di pentas antarabangsa apabila merangkul gelaran juara dunia buat kali keempat berturut-turut di Kejohanan Para Powerlifting Dunia 2025 yang berlangsung di Kaherah, Mesir semalam.
Atlet berusia 26 tahun itu mempamerkan aksi luar biasa dalam kategori lelaki bawah 72 kilogram, selepas melakukan angkatan terbaik seberat 230 kilogram, menewaskan pencabar utamanya dari China, Zhang Pingkang (222kg), dan wakil Britain, Mark Swan (217kg).
Lebih manis, Bonnie turut mendominasi kategori jumlah angkatan keseluruhan dengan catatan 672 kilogram, jauh mengatasi pesaing terdekatnya, Amir Jafari Arangeh dari Iran (581kg) dan Swan (427kg). Kejayaan itu menghadiahkan dua pingat emas buat Malaysia.
Pencapaian kali ini mengekalkan status Bonnie sebagai antara atlet para paling konsisten dan berjaya dalam sejarah sukan tersebut. Sejak 2019, beliau telah menjuarai setiap edisi kejohanan dunia termasuk 2019, 2021, 2023 dan kini 2025.
Walaupun angkatan kali ini sedikit di bawah rekod dunianya 232kg yang dicipta ketika meraih emas di Paralimpik Paris 2024, kekuatan mental serta teknik sempurna sudah cukup untuk mengekalkan dominasi globalnya.
Kemenangan di bumi Mesir itu turut memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai antara kuasa besar dalam sukan para powerlifting dunia.
Edisi 2025 menyaksikan penyertaan atlet dari 70 negara, yang turut bersaing bagi merebut mata kelayakan ke Sukan Paralimpik Los Angeles 2028 (LA28).
Dengan kejayaan terbaharu ini, Bonnie kini mengumpul rekod gemilang empat gelaran dunia, dua kejuaraan Paralimpik, satu emas Komanwel, tiga emas Piala Dunia, dan satu emas Para Asia menjadikannya antara atlet para paling berjaya dalam sejarah sukan negara.
Sumber: Berita Harian
Sertai Telegram kami untuk mendapat berita-berita terkini