LIVERPOOL – Federico Chiesa menunjukkan tekad besar untuk terus mengukir kejayaan bersama Liverpool selepas tampil cemerlang ketika membantu pasukannya mara ke pusingan keempat Piala Liga Inggeris.
Pemain sayap berusia 26 tahun itu menjadi watak penting dalam kemenangan 2-1 ke atas Southampton apabila mencatat dua assist yang disempurnakan oleh Alexander Isak dan Hugo Ekitike. Aksi tersebut sekaligus melayakkan Chiesa dinobatkan sebagai Man of the Match.
Berbanding musim lalu yang penuh kekecewaan, hanya beraksi 104 minit dalam enam perlawanan Liga Perdana Inggeris, Chiesa mengakui musim ini jauh lebih positif buat dirinya.
“Musim lalu cukup sukar, tetapi saya sedar ketika itu saya belum berada di tahap yang diinginkan pengurus. Kini saya lebih baik secara fizikal dan mental. Perubahan itu dilihat oleh pengurus dan saya mula mendapat lebih banyak peluang,” katanya.
Chiesa kini berusaha keras untuk memikat hati Arne Slot agar kembali disenaraikan dalam skuad Liga Juara-Juara, apatah lagi Liverpool kini kehilangan Giovanni Leoni akibat kecederaan lutut serius.
“Jika anda bermain untuk Liverpool, anda mesti mampu memberi perbezaan buat pasukan. Saya gembira dengan keadaan sekarang dan akan terus bekerja keras untuk mendapatkan lebih banyak peluang,” tambahnya penuh semangat.
Sumber: Kosmo Online!
Sertai Telegram kami untuk mendapat berita-berita terkini
Back