CHENNAI - Seramai 12 pelancong dari Malaysia cedera selepas van yang mereka naiki terbabas dan terjunam ke dalam gaung berhampiran Vellaiparai, Kodaikanal, pada Ahad.
Insiden berlaku kira-kira jam 4 petang ketika kenderaan berkenaan melalui laluan berbukit Peruthupparai. Pemandu van, dikenali sebagai Vigneshwaran dari Chennai, dipercayai hilang kawalan sebelum merempuh penghadang besi jalan dan terhumban hampir 30 meter ke bawah.
Bagaimanapun, van itu tersangkut pada sebatang pokok yang menghalang ia daripada jatuh lebih jauh ke dasar gaung.
Menurut laporan Daily Thanthi, kumpulan pelancong tersebut diketuai seorang lelaki bernama Bhaskaran. Mereka tiba di Tamil Nadu beberapa hari lalu untuk melawat beberapa destinasi pelancongan dan keagamaan, termasuk kuil Palani Murugan pada pagi kejadian.
Saksi memaklumkan penumpang menjerit meminta tolong ketika van menjunam sebelum ia tersekat pada pokok. Penduduk tempatan yang menyedari kejadian itu segera turun ke gaung untuk membantu mengeluarkan mangsa daripada kenderaan yang remuk.
Semua mangsa dilaporkan mengalami kecederaan serius dan dikejarkan ke Hospital Kerajaan Kodaikanal untuk mendapatkan rawatan.
Sumber: Berita Harian
Sertai Telegram kami untuk mendapat berita-berita terkini