BAITULMAQDIS, 16 Sept – Israel melancarkan serangan udara besar-besaran ke atas Bandar Gaza hari ini, menurut saksi kepada AFP, hanya beberapa jam selepas Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS), Marco Rubio, menyatakan sokongan penuh terhadap tindakan ketenteraan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu.
Dalam lawatan ke Baitulmaqdis semalam, Rubio menegaskan bahawa Israel boleh mengharapkan sokongan teguh Washington untuk meneruskan operasi ketenteraan dengan matlamat memusnahkan Hamas.
Beberapa jam kemudian, saksi melaporkan berlaku “pengeboman skala besar tanpa henti” di Bandar Gaza, menyebabkan banyak kediaman musnah dan orang awam terperangkap di bawah runtuhan bangunan.
“Kami boleh mendengar jeritan mereka,” kata seorang penduduk berusia 25 tahun, Ahmed Ghazal.
Lawatan Rubio ke Israel dilakukan seminggu selepas Presiden AS, Donald Trump, menegur Tel Aviv berhubung serangan udara ke atas pemimpin Hamas di Qatar, sekutu rapat Washington. Bagaimanapun, Rubio menolak rundingan gencatan senjata yang ditaja Qatar dan menyalahkan Hamas atas serangan 7 Oktober 2023, yang mencetuskan peperangan berpanjangan di Gaza.
Rubio dijadualkan berkunjung ke Qatar hari ini bagi mengadakan perbincangan dengan kerajaan negara itu, yang menempatkan pangkalan udara terbesar AS di rantau Teluk. Trump sebelum ini menegaskan bahawa Netanyahu tidak akan mengulangi serangan ke atas Qatar.
Israel kini melaksanakan kempen ketenteraan berskala besar untuk menawan Bandar Gaza, pusat bandar terbesar wilayah berkenaan. Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bulan lalu melaporkan hampir sejuta penduduk di Gaza berdepan risiko kebuluran, namun dakwaan itu ditolak Israel.
Jurucakap agensi pertahanan awam Gaza, Mahmud Bassal, berkata serangan masih berterusan dan angka korban terus meningkat.
Sumber: Berita Harian
Sertai Telegram kami untuk mendapat berita-berita terkini