OREM, Amerika Syarikat, 12 Sept. - Pihak berkuasa Amerika Syarikat (AS) giat memburu seorang lelaki yang disyaki terbabit dalam pembunuhan pemimpin belia sayap kanan, Charlie Kirk, 31, semalam.
Kirk, yang dikenali sebagai tokoh muda berpengaruh dalam kalangan Republikan konservatif serta dianggap memainkan peranan penting dalam kemenangan semula Donald Trump ke jawatan Presiden tahun lalu, maut selepas ditembak ketika menyampaikan ucapan di Universiti Utah Valley.
Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) menyifatkan insiden berkenaan sebagai “serangan yang disasarkan” yang menggemparkan negara itu, hanya enam bulan selepas Trump memulakan penggal keduanya sebagai Presiden.
Suspek Masih Diburu
Menurut Ejen Khas FBI, Robert Bohls, penembak berkenaan dilaporkan melarikan diri ke kawasan hutan berhampiran lokasi kejadian.
“Kami sedang melakukan segala usaha untuk menangkapnya dan masih belum dapat memastikan sejauh mana dia telah pergi,” katanya dalam sidang media.
Pihak berkuasa percaya suspek berada dalam lingkungan usia penuntut universiti dan mempunyai rakaman video yang jelas, namun belum mendedahkannya kepada umum.
FBI turut menawarkan ganjaran sehingga AS$100,000 (RM470,000) bagi maklumat yang membawa kepada penangkapannya.
Gambar Individu Dikeluarkan
Buat masa ini, pihak berkuasa mendedahkan gambar beresolusi rendah seorang lelaki yang dikenal pasti sebagai “individu berkepentingan”, tetapi bukan suspek rasmi.
Gambar berkenaan menunjukkan seorang lelaki memakai topi baseball hitam, cermin mata gelap, seluar jean dan baju berlengan panjang dengan corak bendera Amerika.
Bohls memaklumkan bahawa senjata yang digunakan dalam serangan itu – sejenis senapang bolt-action berkuasa tinggi – telah ditemui di kawasan hutan yang dipercayai menjadi laluan lariannya.
Sumber: Berita Harian
Sertai Telegram kami untuk mendapat berita-berita terkini