PETALING JAYA, 11 Sept – Kapal Fair Lady yang menyertai misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) dari Itali dijadualkan berlepas ke Gaza hari ini, selepas mengalami tiga kali penangguhan sebelum ini.
Pengarah Media Muslim Care Malaysia (MCM), Tuan Asri Tuan Hussein, berkata kapal itu dijangka meninggalkan pelabuhan Catania sebaik senarai penumpang dimuktamadkan pihak penganjur.
“Setakat jam 8 pagi semalam (waktu tempatan), sebahagian peserta termasuk rakan sebilik saya, Ahmad Safuan Ujar yang juga Setiausaha Agung MCM, masih belum menerima mesej pengesahan.
“Jika mesej itu tidak diterima, bermakna mereka tidak dipilih menyertai pelayaran ke Gaza,” katanya menerusi satu hantaran di media sosial.
Beliau menjelaskan, pengesahan penyertaan lazimnya dihantar secara peribadi dengan menyatakan nama penumpang mengikut bot masing-masing. Namun, proses itu agak lewat kerana berlaku beberapa perubahan pada senarai penumpang.
“Walaupun nama saya sudah tersenarai dalam Fair Lady, rasa berdebar tetap ada kerana senarai masih dikemas kini. Ada kemungkinan saya ditukarkan ke bot lain, atau mungkin digugurkan terus,” ujarnya.
Menurut Tuan Asri, seramai 14 sukarelawan Malaysia dan lebih 100 peserta antarabangsa kini menunggu arahan untuk memulakan pelayaran ke Gaza.
“Mudah-mudahan kami dapat belayar hari ini dan bergabung dengan flotilla lain dari Barcelona dan Tunisia,” katanya lagi.
Dalam perkembangan lain, wartawan bebas ZRA Strim atau nama sebenarnya Zainal Rashid Ahmad berdepan cabaran apabila beliau dan anak perempuannya yang bertugas sebagai jurukamera disenaraikan menaiki bot berasingan.
“Keadaan ini boleh menyukarkan liputan beliau, tetapi Zainal tetap berlapang dada dan menganggap cabaran itu sebahagian daripada misi,” jelas Tuan Asri.
Sumber: Kosmo Online!
Sertai Telegram kami untuk mendapat berita-berita terkini