PUTRAJAYA – Malaysia mengecam sekeras-kerasnya serangan udara Israel ke atas sebuah bangunan kediaman di Doha semalam yang disifatkan sebagai pelanggaran terhadap kedaulatan Qatar serta undang-undang antarabangsa, termasuk Piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Dalam satu kenyataan, Kementerian Luar Negeri (Wisma Putra) menegaskan bahawa tindakan seumpama itu membawa ancaman serius terhadap keamanan dan keselamatan antarabangsa.
“Tindakan haram rejim Zionis Israel hanya akan memburukkan lagi ketegangan serantau serta mengancam kestabilan dan keselamatan, bukan sahaja di Qatar tetapi juga di seluruh rantau berkenaan. Malaysia menyeru masyarakat antarabangsa dan Majlis Keselamatan PBB untuk mengecam serta memegang Israel sepenuhnya bertanggungjawab atas kekejaman tersebut,” jelas kenyataan itu.
Malaysia turut menegaskan pendirian teguhnya untuk terus bersolidariti bersama kerajaan dan rakyat Qatar, selain mengulangi sokongan yang tidak berbelah bahagi terhadap kedaulatan, keselamatan, dan kestabilan negara tersebut.
Kementerian Luar Negeri Qatar sebelum ini mengesahkan letupan yang berlaku di Legtaifiya, Doha adalah serangan rejim Israel yang menyasarkan pejabat seorang pemimpin Hamas.
Setakat ini, tiada rakyat Malaysia dilaporkan terkesan dengan insiden berkenaan. Walau bagaimanapun, rakyat Malaysia yang berada di Qatar dinasihatkan agar berwaspada, mengelakkan kawasan kejadian serta mengikuti perkembangan semasa melalui saluran maklumat sahih yang diumumkan pihak berkuasa tempatan.
Kerajaan Qatar dalam pada itu memberi jaminan bahawa keadaan berada dalam kawalan sepenuhnya dan ruang udara negara berkenaan kekal dibuka.
Sumber: Kosmo Online!
Sertai Telegram kami untuk mendapat berita-berita terkini