PETALING JAYA, 9 Sept. - Serangan dron yang menyasarkan Global Sumud Flotilla (GSF), iaitu konvoi kapal awam yang membawa misi kemanusiaan ke Gaza, mendapat kecaman pelbagai pihak.
Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim), Mohd. Azmi Abdul Hamid menegaskan bahawa serangan tanpa sebarang provokasi itu bukan sahaja melanggar undang-undang antarabangsa, malah membahayakan nyawa orang awam yang tidak bersenjata.
“Serangan ini jelas merupakan jenayah perang dan satu penghinaan terhadap prinsip hak asasi manusia serta Konvensyen Geneva. Perkara ini wajar disiasat dengan segera dan dicegah daripada berulang,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Menurut beliau, tindakan menyerang bot awam memperlihatkan keperluan mendesak untuk campur tangan masyarakat antarabangsa bagi menjamin keselamatan konvoi kemanusiaan.
Sehubungan itu, Mapim menyeru Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), badan hak asasi manusia serta kerajaan di seluruh dunia agar memastikan perlindungan terhadap semua misi bantuan ke Gaza.
Sementara itu, Kosmo! sebelum ini melaporkan bahawa rombongan aktivis Mapim mendakwa telah mengenal pasti pihak yang bertanggungjawab di sebalik serangan dron tersebut ke atas kapal GSF di perairan Tunisia, malam semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 11.55 malam waktu tempatan, kapal utama konvoi yang dikenali sebagai Madeira Family telah terkena objek berapi sehingga menyebabkan kerosakan pada bahagian kapal berkenaan.
Sumber: Kosmo Online!
Sertai Telegram kami untuk mendapat berita-berita terkini