PETALING JAYA – Lima daripada 15 sukarelawan Malaysia yang menyertai misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) dilaporkan selamat tiba di Tunisia selepas lebih seminggu berada di laut.
Mereka ialah Pengasas Cinta Salam Malaysia, Musa Nuwayri; sukarelawan Cinta Salam Malaysia, Iylia Balqis; Editor Video Cinta Gaza Malaysia, Sul Aidil; penyanyi Zizi Kirana; serta pendakwah PU Rahmat (Rahmat Ikhsan Sofyan).
Menerusi perkongsian di Instagram, Musa memuat naik gambar bersama Zizi, Sul dan Iylia dengan kapsyen: “Kami dah selamat sampai Tunisia. Sekarang menuju ke tempat berehat.”
Turut berkongsi pengalaman, Sul Aidil memuat naik video sambutan daripada sukarelawan dan orang awam sebaik tiba di negara itu. PU Rahmat pula menyatakan ini adalah kali pertama beliau dapat menikmati makanan panas dan mandi selepas lapan hari berada di laut.
Misi GSF berlayar dari Barcelona pada 31 Ogos lalu dengan matlamat memecahkan kepungan haram Israel di Gaza.
Seramai sukarelawan dari 44 negara terlibat dalam misi ini, dengan peserta Asia bergabung di bawah inisiatif Sumud Nusantara, yang menghimpunkan aktivis dari Malaysia, Indonesia, Filipina, Maldives, Bangladesh, Bhutan, Thailand, Sri Lanka, Nepal dan Pakistan.
Sumber: Kosmo Online!
Sertai Telegram kami untuk mendapat berita-berita terkini