Kota Kinabalu: Peguam yang mewakili keluarga Allahyarham Zara Qairina Mahathir merayu agar saksi yang masih belum tampil memberikan keterangan supaya berbuat demikian bagi membantu siasatan yang masih dijalankan.
Peguam Hamid Ismail memaklumkan bahawa setakat ini masih terdapat beberapa individu yang menyatakan hasrat untuk berjumpa dengan pihaknya berhubung kes tersebut.
“Kami mohon saksi yang masih ada supaya tampil memberikan maklumat. Setakat ini, memang ada yang mahu berjumpa dengan kami. Secara peribadi, saya sudah menerima beberapa maklumat, namun perlu ditapis dahulu,” katanya ketika ditemui pemberita selepas prosiding di Mahkamah Kanak-kanak di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas sama ada terdapat sebarang permintaan daripada pihak keluarga arwah bagi membantu siasatan kes kematian Zara Qairina.
Dalam pada itu, Hamid memaklumkan bahawa pihaknya sedang menunggu tarikh pendengaran permohonan untuk menjadi “pihak berkepentingan” dalam prosiding inkues yang dijadualkan bermula pada 3 September depan.
“Kami sedang menunggu tarikh pendengaran, kemungkinan dalam minggu ini,” jelasnya merujuk kepada permohonan yang dikemukakan selepas sebutan inkues di Mahkamah Koroner, di sini, pada Isnin lalu.
Beliau turut menambah bahawa pihaknya akan menghubungi ibu Allahyarham Zara untuk memaklumkan perkembangan prosiding kes tersebut.
Sumber: Harian Metro
Sertai Telegram kami untuk mendapat berita-berita terkini