BAGHDAD - Pihak berkuasa Iraq memulakan kerja menggali semula sebuah tapak kubur besar berhampiran Mosul, dipercayai menempatkan ribuan mangsa kekejaman kumpulan militan IS.
Menurut Pengarah projek, Ahmed al-Assadi, fasa pertama kerja penggalian di tapak Khasfa itu bermula pada 10 Ogos lalu. Beliau berkata sehingga kini belum ada angka rasmi mengenai jumlah sebenar mayat yang ditanam di lokasi tersebut.
Namun laporan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada 2018 menyatakan Khasfa berpotensi menjadi kubur besar terbesar di Iraq, dengan anggaran sekurang-kurangnya 4,000 mangsa. Angka sebenar dipercayai lebih tinggi.
“Mangsa termasuk anggota tentera yang dihukum bunuh, penduduk Mosul serta komuniti minoriti Yazidi,” kata Assadi.
Seorang wartawan AFP yang melawat lokasi itu melaporkan penemuan tengkorak manusia tertimbus dalam pasir di kawasan berkenaan.
Khasfa terletak berhampiran Mosul, bekas ‘ibu kota’ khalifah IS sebelum kumpulan itu ditewaskan di Iraq pada penghujung 2017. Bagaimanapun, kerja penggalian berdepan kesukaran kerana tanah yang rapuh akibat air bawah tanah bercampur sulfur. Faktor itu juga berisiko merosakkan sisa mayat, sekali gus menyulitkan pengecaman DNA.
Lubang besar berukuran kira-kira 150 meter dalam dan 110 meter lebar itu pernah menjadi lokasi pembunuhan beramai-ramai, termasuk insiden pada 2016 apabila 280 orang – kebanyakannya kakitangan Kementerian Dalam Negeri – dihukum mati dalam satu hari.
Sejak menawan wilayah Iraq dan Syria pada 2014, IS meninggalkan jejak kekejaman termasuk lebih 200 kubur besar dengan anggaran sehingga 12,000 mayat.
Selain peninggalan era IS, pihak berkuasa Iraq juga masih menemukan kubur besar lain dari zaman pemerintahan Saddam Hussein yang digulingkan pada 2003.
Sumber: Berita Harian
Sertai Telegram kami untuk mendapat berita-berita terkini