Paris Saint-Germain (PSG) mencipta sejarah apabila bangkit daripada ketinggalan dua gol untuk menewaskan Tottenham Hotspur 4-3 menerusi penentuan penalti, sekali gus merangkul Piala Super UEFA di Stadium Bluenergy, Udine, Itali, awal pagi Khamis.
Tottenham bimbingan Thomas Frank mendahului hasil jaringan Micky van de Ven pada minit ke-39 dan Cristian Romero pada minit ke-48. Namun, kebangkitan PSG kendalian Luis Enrique bermula pada minit ke-85 menerusi gol cantik Lee Kang-in, sebelum Goncalo Ramos menanduk masuk gol penyamaan pada minit ke-94.
Perlawanan berakhir 2-2 dalam masa sebenar dan terpaksa ditentukan menerusi sepakan penalti. Nuno Mendes muncul wira PSG selepas menyempurnakan sepakan terakhir untuk kemenangan 4-3.
Kejayaan ini menandakan kali pertama PSG dan mana-mana kelab Perancis, menjuarai Piala Super UEFA. Ia juga menjadi trofi kelima mereka pada tahun 2025, melengkapkan permulaan sempurna musim baharu selepas tewas di final Piala Dunia Kelab kepada Chelsea bulan lalu.
Seterusnya, Tottenham akan menentang Burnley dalam aksi Liga Perdana Inggeris pada Sabtu, manakala PSG berkunjung ke Nantes untuk saingan Ligue 1, Isnin ini.
Sumber: Sinar Harian
Sertai Telegram kami untuk mendapat berita-berita terkini