KUALA LUMPUR – Peguam mewakili keluarga Allahyarham Zara Qairina Mahathir menegaskan bahawa dakwaan yang mengaitkan anak guam mereka, Noraidah Lamat, dengan kematian remaja itu adalah satu naratif “jahat dan jijik” yang direka untuk memfitnah.
Dalam kenyataan bersama, lima peguam termasuk Shahlan Jufri dan Rizwandean M Borhan berkata, sidang media Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk M Kumar, semalam membuktikan tuduhan tersebut tidak benar.
Menurut mereka, siasatan Pasukan Petugas Khas JSJ mendapati terdapat bukti yang menunjukkan unsur buli sebelum kematian Zara Qairina.
“Jika keterangan ini kukuh, kami menggesa Jabatan Peguam Negara mendakwa mereka yang terlibat di bawah Seksyen 507D(2) Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara hingga 10 tahun, denda, atau kedua-duanya,” kata kenyataan itu.
Peguam juga menyarankan agar inkues hanya diadakan jika bukti sedia ada tidak cukup untuk mendakwa suspek, sambil meneruskan siasatan untuk memperkuatkan kes.
Mereka berterima kasih kepada pihak polis kerana bertindak pantas dan menyeru orang ramai yang mempunyai maklumat agar tampil membantu siasatan.
“Kami menghargai sokongan rakyat Malaysia dalam mencari keadilan untuk Zara, namun elakkan membuat spekulasi yang tidak benar,” tambah kenyataan itu.
Sumber: Harian Metro
Sertai Telegram kami untuk mendapat berita-berita terkini