LONDON: Manchester United kini telah mengecilkan senarai sasaran penyerang baharu mereka kepada dua nama utama, Benjamin Sesko dari RB Leipzig dan Ollie Watkins dari Aston Villa, ketika kelab itu berusaha memperkukuh jentera serangan menjelang musim baharu.
Pengurus Ruben Amorim dilaporkan amat mendesak untuk membawa masuk penyerang No.9 selepas musim hambar daripada Rasmus Hojlund dan Joshua Zirkzee. Kedua-dua pemain itu hanya mampu menjaringkan tujuh gol daripada 64 penampilan Liga Perdana Inggeris (EPL) musim lalu, angka yang dianggap terlalu rendah untuk kelab sebesar United.
United sebelum ini telah memperkuat serangan dengan kemasukan Matheus Cunha dan Bryan Mbeumo, namun Amorim masih mahu mencari penyerang berbisa. Difahamkan, kelab itu sudah mengadakan perbincangan awal dengan wakil Sesko, walaupun Newcastle United turut menunjukkan minat yang serius terhadap pemain berusia 22 tahun itu.
Walaupun United tidak dapat menawarkan bola sepak Eropah musim ini, mereka tetap yakin Sesko akan memilih projek jangka panjang di Old Trafford berbanding peluang beraksi di Liga Juara-Juara bersama Newcastle. Bagaimanapun, kekangan bajet menjadi cabaran utama.
Newcastle dikatakan sanggup membayar sekitar £70 juta (RM395 juta) untuk Sesko, terutama jika mereka melepaskan Alexander Isak kepada Liverpool. Situasi ini memaksa United mempertimbangkan alternatif lain iaitu Ollie Watkins, yang harga pasaran semasanya dianggarkan sekitar £60 juta (RM339 juta). Namun United percaya mereka mampu menurunkan jumlah itu kepada sekitar £45 juta (RM254 juta).
Dari segi prestasi, Watkins mencatat 35 gol dalam dua musim terakhir EPL, manakala Sesko mengumpul 27 gol. Namun Sesko mempunyai kadar penyudah yang lebih baik (23.5 peratus) berbanding Watkins (18.3 peratus) serta purata minit per gol yang lebih rendah (145 minit berbanding 167 minit).
Watkins bagaimanapun lebih unggul dalam aspek mencipta peluang dengan 21 bantuan gol, jauh mengatasi hanya tujuh daripada Sesko. Dari segi aksi udara dan tekanan bertahan, kedua-duanya mempunyai statistik yang hampir setara.
Sesko, yang dianggap sebagai pelaburan masa depan, dilihat lebih selari dengan visi pemilik bersama United, Jim Ratcliffe, yang mahu mendapatkan pemain dengan potensi nilai jualan semula lebih tinggi.
Manchester United kini menilai semua faktor sebelum melancarkan bidaan rasmi terhadap salah satu daripada dua penyerang tersebut.
Sumber: Berita Harian
Sertai Telegram kami untuk mendapat berita-berita terkini

WHAT’S HOT

30 July 2025 | 11:30 AM