BANGKOK, 28 Julai – Tentera Diraja Thailand telah memulangkan jasad 12 askar Kemboja yang terkorban dalam pertempuran di sempadan kedua-dua negara, sebagai tanda menghormati nilai kemanusiaan sejagat.
Menurut laporan portal The Nation, proses penghantaran pulang itu dilakukan pada jam 4.30 petang (waktu tempatan) semalam. Jasad-jasad tersebut dipercayai terkorban semasa pertempuran di kawasan Phu Makhuea, satu lokasi yang menjadi titik panas dalam konflik sempadan antara Thailand dan Kemboja.
“Langkah ini diambil selaras dengan prinsip kemanusiaan dan sebagai penghormatan kepada mereka yang terkorban dalam pertempuran, tanpa mengira negara atau kesetiaan,” menurut kenyataan Tentera Diraja Thailand.
Pihak tentera Thailand juga menegaskan bahawa mereka tidak melupakan pengorbanan anggota mereka sendiri yang gugur semasa mempertahankan negara.
“Keberanian mereka akan terus dikenang oleh rakyat Thailand, dan pasukan kami akan meneruskan misi mulia ini demi menjaga kedaulatan negara,” tambah kenyataan itu.
Insiden pertempuran ini menandakan ketegangan berterusan antara kedua-dua negara jiran yang berkongsi sempadan panjang serta sejarah pertikaian wilayah yang rumit.
Sumber: Kosmo Online!
Sertai Telegram kami untuk mendapat berita-berita terkini

WHAT’S HOT

28 July 2025 | 11:25 AM