MASSACHUSETTS, 20 Julai 2025 - Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) syarikat teknologi data dari Amerika Syarikat, Astronomer, Andy Byron, meletakkan jawatan serta-merta selepas video dirinya berpelukan dengan seorang wanita ketika menonton konsert Coldplay menjadi tular di media sosial.
Dalam kenyataan rasmi, Astronomer mengesahkan peletakan jawatan Byron telah diterima oleh lembaga pengarah dan berkuat kuasa serta-merta.
"Andy Byron telah menyerahkan surat peletakan jawatannya dan lembaga pengarah telah menerimanya. Kepimpinan kami seharusnya menjadi contoh dalam tingkah laku dan akauntabiliti, namun piawaian itu tidak dipenuhi," menurut kenyataan tersebut.
Susulan itu, pengasas bersama dan Ketua Pegawai Produk, Pete DeJoy, telah dilantik sebagai CEO interim sementara syarikat mencari pengganti tetap.
“Kesedaran terhadap syarikat kami mungkin berubah sekelip mata, namun misi kami untuk menyelesaikan masalah berkaitan data dan kecerdasan buatan tetap diteruskan,” tambah syarikat itu.
Insiden yang mencetuskan kontroversi itu berlaku pada 16 Julai lalu di Stadium Gillette, Massachusetts. Wajah Byron dan seorang wanita muncul di skrin besar ‘kiss cam’ semasa konsert Coldplay, sebelum kedua-duanya kelihatan cemas dan cuba mengelak daripada dirakam.
Rakaman berkenaan segera tersebar di media sosial, dengan netizen mengenal pasti wanita tersebut sebagai Kristin Cabot, Ketua Pegawai Sumber Manusia di Astronomer.
Sehingga kini, Byron belum mengeluarkan sebarang kenyataan peribadi. Namun, akaun LinkedIn miliknya telah dipadam dan gambar serta profil beliau telah dikeluarkan daripada laman web rasmi syarikat.
Penganalisis berpendapat tindakan Byron meletak jawatan adalah langkah strategik untuk mengelak daripada dipecat tanpa sebarang pampasan, memandangkan syarikat berkemungkinan mempunyai klausa tingkah laku dalam kontrak pengurusan tertingginya.
Walaupun tidak lagi menerajui syarikat, Byron masih disenaraikan sebagai ahli lembaga pengarah Astronomer setakat ini.
Sumber: Kosmo Online!
Sertai Telegram kami untuk mendapat berita-berita terkini