NEW YORK, 3 Julai 2025 – Ikon hip hop terkenal Sean “Diddy” Combs didapati bersalah atas dua pertuduhan berkaitan pelacuran oleh Mahkamah Persekutuan Amerika Syarikat. Bagaimanapun, beliau dibebaskan daripada tiga tuduhan lebih serius, termasuk pemerdagangan seks dan konspirasi jenayah terancang.
Combs, 55, sebelum ini berdepan lima pertuduhan jenayah berkait eksploitasi seksual, namun juri memutuskan beliau hanya bersalah atas dakwaan membawa dua wanita, bekas teman wanitanya Cassie Ventura dan seorang individu dirahsiakan identiti bagi tujuan pelacuran.
Tiga pertuduhan utama yang digugurkan termasuk pemerdagangan seks dan konspirasi jenayah, yang masing-masing boleh membawa hukuman penjara minimum 15 tahun hingga seumur hidup. Sebaliknya, Combs kini berdepan hukuman maksimum 10 tahun penjara bagi setiap pertuduhan pelacuran.
Hakim Arun Subramanian belum menetapkan tarikh hukuman. Selesai prosiding, Combs dilihat berlutut di mahkamah, dipercayai sedang berdoa, sebelum mengucapkan ringkas: “Saya akan pulang tidak lama lagi. Saya sayang kamu semua. Terima kasih.”
Peguambelanya, Marc Agnifilo, memohon agar Combs dibebaskan dengan ikat jamin sementara menunggu hukuman, namun permintaan itu ditolak pendakwaan. Hakim memberi masa sehingga tengah hari untuk hujahan bertulis dikemukakan.
Combs ditangkap pada 16 September tahun lalu susulan siasatan terhadap dakwaan penglibatannya dalam pemerdagangan seks dan kegiatan jenayah terancang yang berselindung di sebalik perniagaan sah.
Kes ini mencetuskan perhatian besar dalam industri muzik selepas beberapa wanita tampil membuat dakwaan, termasuk Ventura yang mendakwa menjadi mangsa penderaan fizikal dan seksual bertahun-tahun. Nama Combs turut dikaitkan dengan parti seksual eksklusif “Freak-Off” yang pernah dihadiri beberapa selebriti ternama.
Siasatan melibatkan serbuan ke atas hartanah miliknya di Los Angeles dan Miami pada Mac lalu, yang disiarkan secara langsung di media utama AS.
Sumber: Sinar Harian
Sertai Telegram kami untuk mendapat berita-berita terkini