ALOR SETAR, 2 Julai 2025 – Seramai 16 penumpang bas ekspres dikenakan kompaun RM300 setiap seorang selepas didapati tidak memakai tali pinggang keledar dalam pemeriksaan khas oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kedah semalam.
Operasi Khas Pemakaian Tali Pinggang Keledar yang dijalankan di Plaza Tol Alor Setar Utara itu turut mendapati dua penumpang bawah umur melakukan kesalahan sama. Bagaimanapun, mereka hanya diberikan nasihat dan advokasi.
Menurut Pengarah JPJ Kedah, Stien Van Lutam, operasi tersebut melibatkan pemeriksaan ke atas 14 bas ekspres dan empat bas persiaran.
“Penguatkuasaan penuh terhadap pemakaian tali pinggang keledar bagi semua pemandu dan penumpang bas telah bermula semalam, selaras dengan Kaedah-Kaedah Kenderaan Motor (Tali Pinggang Keledar dan Sistem Kekangan Kanak-Kanak) 1978 Pindaan 2008,” katanya kepada media.
Tambah beliau, ramai penumpang memberikan alasan tidak selesa atau tidak tahu bahawa pemakaian tali pinggang keledar adalah wajib.
“Alasan seperti itu sering diberikan, namun undang-undang tetap perlu dipatuhi demi keselamatan semua,” ujarnya.
JPJ menegaskan bahawa penguatkuasaan ini penting bagi mengurangkan risiko kecederaan dan kematian sekiranya berlaku kemalangan, sejajar dengan aspirasi negara menuju "Vision Zero" – matlamat sifar kematian akibat kemalangan jalan raya.
JPJ turut mengingatkan semua pengusaha bas agar memastikan setiap kenderaan yang dibina selepas 1 Januari 2020 dilengkapi tali pinggang keledar di setiap tempat duduk. Bagi bas lebih lama, mereka digalakkan untuk turut menyediakan kemudahan sama.
Pemandu bas juga diwajibkan memakai tali pinggang keledar serta mengingatkan penumpang agar sentiasa berbuat demikian sepanjang perjalanan.
JPJ akan meneruskan operasi penguatkuasaan melalui pemeriksaan di terminal, hentian R&R, operasi bersepadu bersama agensi lain termasuk PDRM, serta menggunakan rakaman video dan bukti digital bagi mengesan ketidakpatuhan. Pemeriksaan secara penyamaran turut akan dilaksanakan bagi meningkatkan keberkesanan pemantauan.
Sumber: Kosmo Online!
Sertai Telegram kami untuk mendapat berita-berita terkini