SHAH ALAM, 24 Jun 2025 – Kedutaan Besar Malaysia di Doha, Qatar hari ini mengesahkan berlaku beberapa siri serangan terhadap pangkalan ketenteraan Al Udeid, sekali gus menimbulkan kebimbangan terhadap keselamatan warga asing termasuk rakyat Malaysia di negara Teluk itu.
Dalam satu kenyataan rasmi, Kedutaan menasihatkan semua rakyat Malaysia di Qatar untuk berada di dalam rumah, mengurangkan pergerakan di luar, serta sentiasa berhubung dengan pihak kedutaan bagi sebarang perkembangan dan bantuan lanjut.
“Susulan insiden serangan ini, semua rakyat Malaysia diminta mengambil langkah berjaga-jaga dan mengelakkan kawasan berisiko,” menurut kenyataan itu.
Sementara itu, Kedutaan Besar Malaysia di Amman, Jordan turut mengeluarkan amaran kepada rakyat Malaysia agar tidak merentasi sempadan darat ke negara-negara jiran buat masa ini, berikutan laporan gangguan pergerakan dan risiko keselamatan yang meningkat.
“Semua perjalanan keluar dari Jordan disarankan dilakukan melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Queen Alia sahaja. Rakyat Malaysia juga dinasihatkan untuk mendapatkan pandangan daripada pihak kedutaan sebelum melakukan sebarang perjalanan rentas sempadan,” menurut kenyataan itu lagi.
Kedutaan turut menegaskan bahawa langkah tersebut diambil bagi memelihara keselamatan rakyat Malaysia di luar negara serta memastikan bantuan konsular dapat disalurkan dengan lebih cekap sekiranya berlaku sebarang kecemasan.
Sebarang pertanyaan lanjut boleh disalurkan ke Kedutaan Besar Malaysia di Amman melalui e-mel mwamman@kln.gov.my atau menghubungi talian +962-6-5902400 (waktu pejabat) atau +962-785902400 (Pegawai Bertugas di luar waktu pejabat).
Sumber: Sinar Harian
Sertai Telegram kami untuk mendapat berita-berita terkini