• Home
  • Programme
  • Charts
  • Trending
  • Community
  • Media
  • Podcast
Listen Now
Back

WHAT’S HOT

Ibadah haji dan korban: Simbol pengorbanan, penghambaan dan perpaduan umat
07 June 2025 | 01:27 PM

Ibadah haji dan korban: Simbol pengorbanan, penghambaan dan perpaduan umat

Saban tahun, setiap kali bulan Zulhijjah menjelma, jutaan umat Islam menumpukan hati dan jiwa ke arah dua ibadah besar yang menjadi lambang penyerahan kepada ALLAH SWT iaitu haji dan ibadah korban.

Kedua-duanya bukan sekadar ibadah fizikal, tetapi sarat dengan makna pengorbanan, penghambaan, dan penyatuan umat Islam sejagat.

Namun, dalam gema takbir dan kesyahduan ibadah korban yang disambut di seluruh dunia, jangan sesekali kita lupakan bentuk pengorbanan paling agung yang sedang berlangsung di bumi bergolak Palestin – melibatkan pengorbanan beratus ribu nyawa, maruah, dan masa depan generasi.

Semasa menunaikan ibadah haji, semua umat Islam bergerak ke satu titik kosong dengan menanggalkan segala darjat, pangkat, dan identiti duniawi. Di Padang Arafah, jutaan manusia berkumpul dengan satu pakaian, satu kiblat, dan satu tujuan – iaitu mencari reda ALLAH SWT, selain menjadi simbolik kepada penghambaan dan penyatuan umat Islam dari seluruh dunia.

Ketika menunaikan ibadah haji, tiada keistimewaan diberikan kepada sesiapa pun melainkan kepada mereka yang datang dengan hati yang tunduk dan bersih.

Justeru, ibadah haji adalah titik mula bagi perubahan dalaman – daripada sifat mementingkan diri kepada jiwa yang bersedia berkorban demi orang lain.

Ibadah korban pula bukan sekadar menyembelih binatang ternakan seperti kambing, lembu dan unta bagi memperingati ketaatan Nabi Ibrahim dan keikhlasan Nabi Ismail – dua insan yang sanggup melepaskan segalanya demi mentaati perintah ALLAH SWT.

Pengorbanan mereka menjadi teladan sepanjang zaman, menunjukkan bahawa keimanan sejati menuntut keberanian untuk berkorban apa jua, termasuk perkara yang paling kita sayangi.

Namun, hari ini erti korban tidak lagi terhad kepada lembu, kambing atau unta.

Di bumi Palestin, umat Islam memberikan pengorbanan yang jauh lebih besar – nyawa, keluarga dan masa depan – demi mempertahankan tanah suci, Masjid al-Aqsa, dan maruah umat.

Mereka hidup dalam suasana korban yang tidak pernah berakhir.

Realiti pengorbanan yang menggetarkan ialah apabila kita menyembelih haiwan korban dalam keadaan aman dan cukup makan, sedangkan saudara kita di Gaza dan Tebing Barat menyambut Aidiladha dalam kelaparan, ketakutan dan penderitaan.

Mereka telah lama hidup dalam erti sebenar sebuah ‘korban’.

Ribuan anak-anak syahid, wanita kehilangan suami, dan lelaki-lelaki yang syahid mempertahankan tanah yang diberkati – semua itu menyerlahkan bahawa pengorbanan bukan sekadar kisah silam Nabi Ibrahim, tetapi realiti hidup umat Islam hari ini.

Ini bukan sekadar isu politik atau kemanusiaan, tetapi amanah akidah dan solidariti ummah.

Jika ibadah korban menyeru kita untuk memberi yang terbaik demi orang lain, maka penderitaan Palestin menuntut kita untuk bertindak – sama ada dengan doa, derma, kesedaran, atau keberanian menyuarakan kebenaran.

Justeru, menghidupkan semangat pengorbanan di Zulhijjah bukan sekadar tentang haji dan korban, tetapi bulan muhasabah dan kesedaran.

Ibadah ini mengajak kita bertanya kembali: apakah bentuk pengorbanan yang telah kita lakukan demi agama, umat dan keadilan?

Di sebalik kesyukuran menunaikan ibadah dalam keadaan selesa, jangan kita lupa saudara yang tidak pernah kenal erti tenang.

Semoga roh korban yang kita hidupkan tahun ini mampu menyatukan semula kekuatan umat Islam – dari Tanah Suci Makkah hingga ke Gaza.

Sesungguhnya, Islam itu tegak di atas pengorbanan. Dan tiada pengorbanan yang lebih besar daripada mempertahankan maruah, tanah dan akidah – walaupun dengan nyawa sekali pun.

Sumber: Sinar Harian

Sertai Telegram kami untuk mendapat berita-berita terkini 

DOWNLOAD OUR FREE APP NOW!

  • FOLLOW ON SOCIAL MEDIA AND DOWNLOAD OUR APP!
  • FOLLOW ON SOCIAL MEDIA AND DOWNLOAD OUR APP!
  • FOLLOW ON SOCIAL MEDIA AND DOWNLOAD OUR APP!
  • FOLLOW ON SOCIAL MEDIA AND DOWNLOAD OUR APP!
  • FOLLOW ON SOCIAL MEDIA AND DOWNLOAD OUR APP!

GET CONNECTED WITH US

I would love to receive more updates from Cats FM!

THE COMPANY

  • About Us
  • Advertise With US
  • Career With Us
  • Contact Us
  • General T & C

STATION

  • Programs
  • Contest
  • CATS Rangers

TRENDING

  • What’s Hot?
  • Artist of the month

CHARTS

  • CATS 30
  • CATS Prebiu
  • Lagu Tebilang CATS

MEDIA

  • Photo Gallery
  • Video Gallery
  • Podcast

COMMUNITY

  • Waktu Solat
  • CATS Activity

© Cats FM 2025

Social Media :

  • Facebook
  • Instagram
  • Twitter / X
  • TikTok