Seorang peniaga telah mengejutkan ramai apabila memuat naik video di TikTok yang menunjukkan cacing berada di dalam perut sotong yang dibersihkannya. Peniaga berkenaan, yang menjalankan perniagaan Gerai Mee Kaki Udang LKNK, berkongsi bahawa dia mendapati hampir semua sotong yang dibersihkan mempunyai cacing.
Beliau yang membersihkan sotong sehingga 40 kilogram sehari, memberi amaran kepada orang ramai untuk membuang cacing-cacing ini dengan teliti. Dalam video tersebut, beliau turut menunjukkan cara-cara mengeluarkan cacing daripada perut sotong, menekankan bahawa cacing tersebut terletak di tengah-tengah badan sotong, bukan di hujung.
Dalam pada itu, seorang pengamal perubatan, Muhamad Hazwan Nazri, menjelaskan bahawa cacing yang ditemui itu adalah Anisakis, sejenis parasit gelang yang biasa menjangkiti haiwan laut seperti sotong dan ikan. Jika termakan, cacing ini boleh menyebabkan Anisakiasis, iaitu keradangan di usus. Simptomnya menyerupai keracunan makanan, seperti muntah, sakit perut, cirit-birit, demam dan mual.
Beliau menasihatkan orang ramai supaya memastikan makanan laut dimasak dengan sempurna sebelum dimakan untuk mengelakkan jangkitan parasit ini.
Sumber: Sinar Harian
Sertai Telegram kami untuk mendapat berita-berita terkini