MEKAH, 29 Mei 2025 – Jemaah haji Malaysia meluahkan rasa puas hati terhadap perkhidmatan kafeteria yang disediakan oleh Lembaga Tabung Haji (TH) di tujuh Bangunan Penginapan Jemaah Haji (BPJH) di Makkah. Faktor seperti layanan mesra, harga berpatutan, dan sajian yang menepati cita rasa Malaysia menjadi penyumbang utama kepada kepuasan tersebut.
Menurut jemaah haji, Muhamad Fakhri Kamarul Zaman, 34, harga makanan di kafeteria TH jauh lebih murah berbanding kedai makan atau pasar raya di luar. Beliau turut memuji sajian seperti nasi lemak yang memenuhi cita rasa tempatan. Tambahnya lagi, sistem pembayaran fleksibel turut memudahkan jemaah, terutamanya bagi mengelakkan kesesakan pada waktu puncak.
Bagi jemaah wanita, Normah Mat Noor, 59, penyediaan makanan Malaysia membantu mereka merasai seolah-olah berada di tanah air. Beliau menyifatkan usaha ini sebagai satu inisiatif yang sangat berbaloi dan memenuhi selera rakyat Malaysia di perantauan.
Pengurus Operasi Kafeteria TH Makkah, Muhammad Najib Zulkifi menjelaskan bahawa penetapan harga makanan dikawal selaras dengan garis panduan TH untuk memastikan ia tidak membebankan jemaah. Makanan berat seperti nasi lemak dijual pada harga antara enam hingga 10 Riyal, manakala kuih-muih dijual sekitar lima Riyal, lebih rendah daripada had maksimum enam Riyal yang ditetapkan.
Beliau turut memaklumkan bahawa tujuh kafeteria beroperasi di BPJH Makkah, dengan tiga daripadanya dikendalikan terus oleh TH. Operasi bermula seawal 4.30 pagi hingga 11 malam, manakala makanan dimasak dan dihantar seawal 4 pagi. Pemeriksaan kualiti dijalankan setiap dua jam bagi memastikan makanan yang disediakan sentiasa segar, selamat, dan berkualiti. Makanan yang tidak memenuhi standard akan ditarik balik dan dilupuskan serta-merta.
Usaha TH ini jelas memberi keselesaan dan ketenangan kepada jemaah Malaysia dalam melaksanakan ibadah haji di tanah suci.
Sumber: BERNAMA
Sertai Telegram kami untuk mendapat berita-berita terkini