Sarawak kini sedang menjalani transformasi besar-besaran untuk muncul sebagai destinasi pelancongan utama di Malaysia dan Asia Tenggara. Dalam satu langkah berani, negeri ini merancang pelbagai projek berimpak tinggi yang dijangka menarik minat pelancong tempatan dan antarabangsa.
Antara projek utama yang diumumkan ialah penukaran bangunan lama Dewan Undangan Negeri Sarawak menjadi Pusat Seni Persembahan Bertaraf Dunia yang diinspirasikan daripada Royal Albert Hall di London. Dijangka siap pada penghujung tahun 2027, pusat ini akan menjadi lokasi utama bagi konsert antarabangsa dan persembahan budaya berskala besar.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah, menyatakan bahawa projek ini adalah sebahagian daripada strategi untuk menarik acara global serta mengangkat imej Sarawak di pentas dunia. Beliau menekankan bahawa acara berskala besar mampu memberi kesan ekonomi segera serta liputan media global.
Selain itu, Sarawak turut merancang untuk membuka Pusat Kraftangan Sarawak menjelang tahun 2026, yang bakal menjadi platform bagi artisan tempatan mempamer dan menjual hasil kraf mereka. Pelancong juga berpeluang merasai pengalaman budaya secara langsung melalui aktiviti interaktif.
Kolam renang MBKS pula akan diubah suai menjadi Water Fun Park mesra keluarga, manakala Kuching akan menampilkan pusat khas untuk UNESCO Creative City of Gastronomy bagi meraikan warisan kulinari tempatan.
Sarawak juga tidak melupakan kawasan luar bandar, dengan projek Tourist Support Centre untuk Lundu dan Sematan yang dijangka siap hujung tahun ini. Tambahan pula, dengan kerjasama MOTAC, negeri ini telah menerima RM3.37 juta bagi menaik taraf 15 projek pelancongan termasuk:
- Telaga Air Waterfront
- Taman Negara Bako
- Bukit Lambir
- Taman Tumbina
- Homestay SantuBong & Lobang Batu
- Rumah Margretta Kerangan Buloh, Julau
- Tun Ahmad Zaidi Nature Reserve, Sibu
Kesemua inisiatif ini merupakan sebahagian daripada penutup Rancangan Malaysia Ke-12 dan akan menjadi batu loncatan kepada Rancangan Malaysia Ke-13 (2026–2030). Sarawak mensasarkan untuk menjadi "bintang pelancongan Malaysia" menjelang tahun 2030.
Dengan pembangunan pesat ini, Sarawak tidak hanya memperkukuh ekonomi tempatan, malah bersedia untuk melangkah ke pentas dunia sebagai destinasi pelancongan yang serba lengkap dan moden — tanpa mengorbankan keunikan budayanya.
Sumber: I Love Borneo
Sertai Telegram kami untuk mendapat berita-berita terkini