MANCHESTER – Pengurus Manchester United, Ruben Amorim menyuarakan keyakinannya bahawa kelab itu akan kembali mencipta kegemilangan meskipun baru sahaja mengharungi musim yang digelar sebagai ‘malapetaka’.
Dalam perlawanan terakhir musim ini di Old Trafford kelmarin, United menewaskan Aston Villa 2-0 hasil jaringan Amad Diallo dan Christian Eriksen. Kemenangan ini merupakan yang pertama di laman sendiri sejak Februari lalu, sekaligus menafikan harapan Villa untuk layak ke Liga Juara-Juara.
Namun, keputusan tersebut tidak mampu menutup kegagalan besar United musim ini. Mereka menamatkan saingan Liga Perdana Inggeris di tangga ke-15 – kedudukan terburuk sejak 1974. Malah, kekalahan kepada Tottenham Hotspur dalam final Liga Europa turut menyaksikan mereka gagal beraksi di pentas Eropah musim depan buat kali kedua dalam tempoh 35 tahun.
Amorim dalam ucapannya selepas perlawanan memohon maaf kepada para penyokong atas prestasi buruk skuad bimbingannya.
“Saya mahu memohon maaf terhadap apa yang berlaku musim ini. Saya tahu anda semua sangat kecewa. Namun, kita perlu memilih – sama ada terus terperangkap dengan kegagalan atau bangkit dan bersatu semula,” katanya.
Beliau turut mengimbau peringatannya enam bulan lalu bahawa pasukan bakal dilanda ‘ribut’, namun kini menyeru agar semua pihak terus percaya dengan masa depan kelab.
“Hari ini, selepas bencana yang telah kita hadapi, saya mahu memberitahu anda bahawa hari yang baik akan menjelma. Jika ada satu kelab di dunia yang mampu menghadapi kesukaran seperti ini, ia adalah Manchester United,” tambahnya penuh semangat.
Kenyataan Amorim memberikan sedikit kelegaan dan harapan kepada penyokong bahawa kebangkitan kelab gergasi England itu mungkin hanya menunggu masa.
Sumber: Kosmo Online!
Sertai Telegram kami untuk mendapat berita-berita terkini