Kuching, 15 Mei – Kejadian cemas berlaku malam tadi apabila sebuah kenderaan pacuan empat roda dilaporkan terjatuh ke dalam Sungai Sarawak dari Jambatan Tun Salahudin, menghubungkan Petra Jaya dan pusat bandar Kuching.
Menurut seorang saksi, insiden itu berlaku secara tiba-tiba apabila kenderaan yang diparkir di tepi jambatan tiba-tiba bergerak sendiri sebelum terjunam ke dalam sungai.
Pasukan dari Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak menerima panggilan kecemasan pada jam 10.07 malam dan terus menggerakkan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tabuan Jaya ke lokasi, yang terletak kira-kira empat kilometer dari balai.
Menurut jurucakap JBPM, sebaik tiba di lokasi pada jam 10.11 malam, anggota mendapati kenderaan tersebut pada awalnya sempat tersangkut pada rangka besi jambatan sebelum jatuh sepenuhnya ke dalam sungai. Operasi mencari dan menyelamat (SAR) segera dilancarkan.
Setakat ini, identiti mangsa serta jenis kenderaan yang terlibat masih belum dapat dipastikan. Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) JBPM sedang bersiap sedia menjalankan operasi selaman walaupun berdepan cabaran seperti cuaca mendung dan arus sungai yang deras.
Operasi masih diteruskan dan orang ramai dinasihatkan untuk tidak menghampiri kawasan kejadian bagi memberi laluan kepada pihak berkuasa menjalankan tugas mereka dengan selamat.
Sumber: TVS
Sertai Telegram kami untuk mendapat berita-berita terkini