Johor Darul Ta’zim (JDT) terus membuktikan keunggulan mereka dalam kancah bola sepak tempatan apabila menamatkan saingan Liga Super 2024/2025 dengan penuh bergaya sebagai juara buat kali ke-11 berturut-turut. Lebih membanggakan, skuad Harimau Selatan mengekalkan rekod tanpa kalah sepanjang musim ini.
Dalam aksi terakhir yang berlangsung di Stadium Negeri, Kuching, malam tadi, JDT menundukkan Kuching City FC 2-0 untuk mengesahkan kejuaraan. Perlawanan bermula dengan penuh intensiti apabila JDT dihadiahkan sepakan penalti seawal minit ke-3, selepas kekasaran yang dilakukan oleh pemain pertahanan tuan rumah.
Penjaring terbanyak liga, Bérgson Gustavo, menyempurnakan sepakan itu pada minit ke-5 untuk membuka tirai jaringan.
Jaringan kedua hadir pada minit ke-25 menerusi pemain import, Romel Morales, yang bijak memanfaatkan hantaran rakan sepasukan bagi menggandakan kelebihan JDT. Kedudukan 2-0 kekal hingga tamat separuh masa pertama.
Kuching City tampil lebih agresif pada babak kedua dan berjaya memberikan tekanan kepada pertahanan JDT, namun ketangkasan benteng Harimau Selatan mengekalkan kelebihan dua gol hingga wisel penamat dibunyikan.
Dengan kemenangan ini, JDT mengumpul 70 mata hasil 23 kemenangan dan satu seri daripada 24 perlawanan, sekaligus menobatkan mereka sebagai ‘The Invincible’ untuk musim ini — satu pencapaian luar biasa yang terus meletakkan mereka di puncak bola sepak Malaysia.
Sumber: TVS
Sertai Telegram kami untuk mendapat berita-berita terkini