Pada 1 April lalu, satu insiden pergaduhan fizikal telah tercetus dalam penerbangan Shenzhen Airlines dari Shenzhen ke Shanghai, melibatkan dua penumpang wanita. Pergaduhan ini berpunca daripada pertelingkahan berkenaan bau badan dan bau minyak wangi yang dianggap terlalu kuat. Kejadian berlaku sebelum pesawat sempat berlepas.
Keadaan menjadi tegang apabila perbalahan mulut bertukar menjadi pergelutan fizikal, memaksa campur tangan dua pramugari dan dua kru lelaki bagi meleraikan situasi. Malangnya, salah seorang pramugari mengalami kecederaan ringan apabila digigit oleh salah seorang penumpang semasa insiden tersebut. Rakaman video yang tular menunjukkan pramugari itu menjerit kesakitan sambil meminta penumpang melepaskannya.
Mangsa segera dihantar ke hospital untuk rawatan, dan dilaporkan berada dalam keadaan stabil. Polis telah dipanggil ke lokasi, dan kedua-dua penumpang terbabit dibawa keluar dari pesawat. Akibat insiden tersebut, semua penumpang lain terpaksa turun dan penerbangan hanya disambung semula selepas dua jam.
Shenzhen Airlines mengeluarkan kenyataan tegas bahawa keselamatan penumpang dan kakitangan adalah keutamaan mereka. Mereka juga menyeru agar semua penumpang sentiasa mematuhi peraturan serta menjaga tatasusila semasa dalam penerbangan.
Insiden ini mencetuskan perdebatan hangat di media sosial China. Ramai warganet mengecam tindakan dua wanita terbabit dan mencadangkan agar mereka disenarai hitam daripada menggunakan pengangkutan awam. Ada juga yang meluahkan simpati terhadap pramugari yang cedera, dan berharap beliau mendapatkan pemeriksaan kesihatan lanjut bagi mengelakkan sebarang jangkitan.
Kejadian ini menambahkan lagi senarai insiden kekecohan melibatkan penumpang dalam penerbangan, yang kini menjadi isu keselamatan awam semakin diberi perhatian di China.
Sumber: Sinar Harian
Sertai Telegram kami untuk mendapat berita-berita terkini