Perlawanan derbi Manchester yang dinanti-nantikan berakhir hambar apabila Manchester United dan Manchester City seri tanpa jaringan 0-0 pada tengah malam tadi. Jurulatih United, Ruben Amorim, menyatakan pasukannya perlu memperbaiki banyak aspek permainan jika mahu kembali ke prestasi terbaik.
Amorim menegaskan bahawa United masih terlalu bergantung kepada serangan balas dan gagal mencipta peluang mencukupi di kawasan akhir. "Kami perlu lebih banyak masa di kawasan serangan untuk mencipta peluang. Setiap pemain ada potensi, tetapi kita perlu lebih konsisten dan tajam," katanya.
Keputusan seri itu menyaksikan United kekal di tangga ke-13, manakala City berada di tempat kelima – satu kedudukan yang mungkin cukup untuk kelayakan Liga Juara-Juara Eropah musim depan. Namun, tekanan semakin memuncak buat City kerana mereka hanya dua mata di hadapan Newcastle, yang masih mempunyai dua perlawanan dalam tangan.
Kedua-dua pasukan kelihatan bergelut musim ini. United kini berharap dapat menebus musim buruk mereka melalui kejayaan di Liga Europa, manakala City pula dalam risiko gagal menamatkan musim dalam kelompok empat teratas buat kali pertama sejak musim 2009/10.
Kapten United, Bruno Fernandes, mengakui kekurangan naluri penyudah menjadi punca utama kegagalan pasukan: "Kami terlalu banyak menyentuh bola. Sepatutnya satu sentuhan sudah cukup. Kami teratur, tetapi tiada naluri pembunuh itu hari ini."
Kevin De Bruyne pula turun beraksi selepas mengumumkan musim ini sebagai musim terakhirnya bersama City, namun prestasinya hambar dan tidak memberi impak besar. Pep Guardiola turut mengakui pasukannya tidak cukup tajam: "Kami tidak cukup bagus untuk menghukum mereka. Satu mata tetap lebih baik dari kalah, tapi ini bukan keputusan yang kami harapkan."
Perlawanan derbi yang kurang intensiti dan semangat ini seolah-olah mencerminkan musim muram buat kedua-dua gergasi Manchester – satu realiti pahit yang kini sukar untuk dinafikan.
Sumber: Harian Metro
Sertai Telegram kami untuk mendapat berita-berita terkini