Pelakon dan pelawak, Along Cham, dilepas tanpa dibebaskan (DNAA) oleh Mahkamah Sesyen Sepang atas pertuduhan memiliki dadah jenis kanabis yang ditemui di kediamannya di Cyberjaya pada Disember 2024.
Pertuduhan di bawah Seksyen 39A(2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dipinda kepada Seksyen 39A(1) dan dibawa ke Mahkamah Majistret. Hakim Ahmad Fuad Othman memerintahkan Along dilepas tanpa dibebaskan, dan pertuduhan baru dikemukakan di Mahkamah Majistret.
Di Mahkamah Majistret, Along mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan baru: memiliki kanabis seberat 49.61 gram dan memasukkan dadah jenis THC ke dalam badannya.
Pertuduhan pertama dibuat di bawah Seksyen 6 ADB 1952, membawa hukuman penjara tidak lebih lima tahun, manakala pertuduhan kedua di bawah Seksyen 15(1)(a) ADB 1952 membawa hukuman denda maksimum RM5,000 atau penjara sehingga dua tahun serta pengawasan sehingga tiga tahun. Along dibenarkan ikat jamin RM5,000 sementara menunggu perbicaraan lanjut.
Sumber: Harian Metro
Sertai Telegram kami untuk mendapat berita-berita terkini