Tiga tawanan yang dibebaskan oleh Hamas tidak pulang ke Israel dengan tangan kosong. Ketiga-tiga mereka, Romi Gonen, Doron Steinbrecher, dan Emily Damari, menerima beberapa 'cenderahati' ketika mereka diserahkan kepada wakil Persatuan Palang Merah di Bandar Gaza pada Ahad lalu.
Hadiah tersebut disampaikan oleh Briged al-Qassam, sayap tentera Hamas, yang termasuk beg kertas dengan logo mereka yang mengandungi rantai, peta Genting Gaza, sijil pembebasan, serta gambar kenangan semasa berada di Gaza.
Ketika menerima hadiah tersebut, mereka dilihat tersenyum dan sempat bergambar sebelum kembali pulang. Tindakan ini jelas berbeza dengan gambaran yang sering disebarkan oleh media Barat mengenai Briged al-Qassam.
Sebahagian warganet turut membandingkan reaksi gembira mereka dengan penderitaan yang dialami oleh tahanan Palestin yang sering dilaporkan didera di penjara Israel.
Namun, menurut laporan New Arab, wakil keluarga Gonen memberitahu bahawa Agensi Keselamatan Israel (Shin Bet) telah merampas hadiah-hadiah tersebut selepas mereka dibebaskan.
Sumber: Sinar Harian
Sertai Telegram kami untuk mendapat berita-berita terkini