TikTok memulihkan perkhidmatannya di Amerika Syarikat (AS) pada Ahad selepas dihentikan seketika susulan penguatkuasaan larangan aplikasi itu atas alasan keselamatan negara.
Pengharaman tersebut ditarik balik berikutan campur tangan Presiden terpilih Donald Trump, yang berjanji untuk menangguhkan larangan bagi memberi masa kepada ByteDance, pemilik TikTok dari China, untuk mencapai kesepakatan dengan pembeli bukan Cina.
TikTok ditutup di AS pada Sabtu malam selepas tarikh akhir yang ditetapkan bagi pemindahan pemilikan aplikasi itu tamat. Pengguna TikTok yang kecewa mendapati akses mereka ke aplikasi tersebut disekat.
Trump, menerusi platform Truth Social, menyeru agar AS memiliki 50% pemilikan TikTok, menyatakan bahawa nilai aplikasi itu boleh meningkat kepada ratusan bilion atau mungkin trilion dolar.
TikTok dalam kenyataannya di X (dahulunya Twitter) menyatakan, “Kami berterima kasih kepada Presiden Trump atas kejelasan dan jaminan yang diberikan kepada penyedia perkhidmatan kami.”
Platform perkongsian video itu kembali dalam talian pada tengah hari Ahad, tetapi belum memberi maklum balas terhadap cadangan Trump mengenai pemilikan separa oleh AS. TikTok kini mempunyai lebih 170 juta pengguna aktif di AS.
Sumber: Harian Metro
Sertai Telegram kami untuk mendapat berita-berita terkini