Pelakon Trisha Ooi, 26, berdepan dugaan apabila terkandas bersama kru produksi dan pengurusnya akibat kejadian tanah runtuh dan pokok tumbang di Genting Highlands hari ini.
Trisha yang sedang dalam perjalanan ke Janda Baik, Pahang untuk menyambung penggambaran sebuah drama, memaklumkan mereka terperangkap sejak awal pagi.
“Kami terperangkap sejak pagi tadi. Semalam saya menjalani penggambaran di Genting Highlands, dan hari ini sepatutnya ke Janda Baik. Namun, laluan terhalang akibat tanah runtuh,” katanya kepada Kosmo! Online.
Bagaimanapun, Trisha bersyukur semua pihak yang bersamanya berada dalam keadaan selamat dan kejadian tersebut tidak berlaku ketika mereka berada di lokasi terjejas.
“Kami kini kembali ke tempat penginapan sementara menunggu laluan dibuka. Tolong doakan keselamatan kami,” katanya lagi.
Trisha turut berkongsi situasi tanah runtuh yang menghalang laluan utama melalui Instagram Story, menunjukkan pihak berkuasa sedang melakukan kerja-kerja pembersihan.
Sumber: Kosmo Online!
Sertai Telegram kami untuk mendapat berita-berita terkini