Syarikat SESCO Berhad, yang merupakan cabang operasi dan peruncitan Sarawak Energy, akan memperkenalkan format bil elektrik baru yang akan berkuat kuasa pada 20 Januari 2025. Perubahan ini bertujuan untuk memberikan maklumat bil yang lebih jelas dan terperinci, memudahkan pelanggan untuk memahami penggunaan tenaga serta caj yang dikenakan.
Bil elektrik yang baru ini akan memaparkan perincian lebih mendalam mengenai penggunaan tenaga, termasuk maklumat seperti bacaan terdahulu, bacaan semasa, dan jumlah unit yang digunakan.
Selain itu, susun atur bil akan disusun secara lebih terstruktur dan mudah difahami. Penambahbaikan ini dibangunkan berdasarkan maklum balas pelanggan, dengan matlamat untuk menjadikan bil yang diterima lebih informatif dan mesra pengguna.
Sebagai sebahagian daripada perubahan ini, Sarawak Energy juga menggalakkan pelanggan untuk melanggan perkhidmatan e-Bil yang akan menghantar penyata bil melalui e-mel dan memberikan akses pantas menggunakan peranti mudah alih. Langkah ini adalah sebahagian daripada usaha untuk memodenkan perkhidmatan dan mempromosikan penerimaan digital di Sarawak. Pelanggan yang tidak melanggan perkhidmatan e-Bil masih akan menerima bil bercetak.
Pelanggan yang berminat boleh melanggan e-Bil melalui aplikasi mudah alih SEB Cares atau portal web rasmi Sarawak Energy. Untuk sebarang pertanyaan atau bantuan mengenai format bil baru, pelanggan boleh menghubungi Pusat Khidmat Pelanggan Sarawak Energy di talian 1-300-88-3111.
Sumber: TVS
Sertai Telegram kami untuk mendapat berita-berita terkini