Bekas juara UFC, Khabib Nurmagomedov, terlibat dalam insiden di Lapangan Terbang Antarabangsa Harry Reid, Las Vegas, apabila beliau dihalau dari penerbangan Frontier Airlines selepas pertikaian dengan kru kabin mengenai tempat duduknya di barisan keluar kecemasan. Insiden ini terjadi apabila pramugari mempersoalkan kesediaan Khabib untuk membantu dalam situasi kecemasan sekiranya berlaku di barisan tersebut.
Dalam rakaman video yang tular, pramugari memberitahu Khabib bahawa beliau tidak boleh duduk di tempat itu dan memberikan pilihan sama ada untuk menukar tempat duduk atau meninggalkan pesawat. Khabib menolak untuk menukar tempat duduk, dengan alasan beliau telah mematuhi prosedur dan fasih berbahasa Inggeris seperti yang diminta semasa daftar masuk.
Walaupun diberi pilihan untuk berpindah tempat duduk atau menaiki penerbangan seterusnya, Khabib tetap enggan berganjak. Keputusan ini menyebabkan beliau dan rombongannya diiring keluar dari pesawat.
Khabib pada ketika itu sedang dalam perjalanan ke Los Angeles untuk menyokong rakan sepasukannya dalam acara UFC 311 yang dijadualkan pada 18 Januari.
Setakat ini, tiada kenyataan rasmi dikeluarkan oleh pihak Frontier Airlines atau Khabib mengenai insiden tersebut.
Sumber: Sinar Harian
Sertai Telegram kami untuk mendapat berita-berita terkini