KUALA LUMPUR: Persidangan Kawal Selia Antarabangsa (IRC) 2025 anjuran Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) berakhir dengan menekankan pentingnya hubungan inovasi dan kawal selia dalam era digital.
Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching, berkata persidangan ini membincangkan isu seperti kawal selia telekomunikasi, ketahanan siber, serta kesan teknologi seperti AI, blok rantai, dan pengkomputeran kuantum dalam sektor seperti kesihatan, logistik, dan kelestarian tenaga.
“IRC 2025 membuktikan bahawa kerjasama adalah pemangkin untuk masa depan yang selamat, inklusif, dan mampan,” katanya pada majlis penutup.
Persidangan dua hari itu menghimpunkan pemimpin industri, penggubal dasar, dan pakar global dari ASEAN, Australia, Amerika Syarikat, dan Arab Saudi.
Teo juga menekankan usaha MCMC melindungi pengguna media sosial, dengan 63,652 kandungan penipuan diturunkan pada 2024, termasuk deepfake dan penipuan melibatkan tokoh terkenal. Beliau turut menggesa platform seperti Meta untuk mempertingkat saringan iklan.
Sumber: Suara Sarawak
Sertai Telegram kami untuk mendapat berita-berita terkini