Balik Pulau: Sebuah syarikat perkhidmatan pembersihan di sini, didenda RM3,000 oleh Mahkamah Majistret Balik Pulau di sini, semalam, selepas didapati tidak melaporkan kes kemalangan maut di tempat kerja.
Dalam kenyataan Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) memaklumkan bahawa syarikat berkenaan, Syarikat RT Jaya Sdn Bhd yang tidak diwakili peguam dijatuhi hukuman selepas mengaku bersalah atas dakwaan itu di hadapan Majistret Chia Huey Ting.
Menurut JKKP, kesalahan itu dilakukan mengikut Peraturan 5(1)(a)(aa) Peraturan-Peraturan Keselamatan Dan Kesihatan Pekerjaan (Pemberitahuan Mengenai Kemalangan, Kejadian Berbahaya, Keracunan Pekerjaan dan Penyakit Pekerjaan) 2004, Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994.
Kesalahan itu memperuntukkan denda tidak melebihi RM10,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya sekali.
Sumber: Harian Metro
Sertai Telegram kami untuk mendapat berita-berita terkini