Sambutan Pengiraan Detik Tahun Baharu 2025 yang akan diadakan secara meriah di Tebingan Kuching pada 31 Disember ini adalah untuk meraikan pencapaian membanggakan Kerajaan Sarawak sepanjang tahun ini.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, pencapaian itu bukan sahaja dalam aspek politik tetapi juga pembangunan, pendapatan dan pelbagai sektor lain.
Tahun 2024 cukup menggembirakan Sarawak, dengan banyak perkara berlaku, antaranya pengambilalihan Pelabuhan Bintulu, penyiapan jalan pesisir serta kejayaan menganjurkan kejohanan Sukan Malaysia (SUKMA) dan Para SUKMA.
Malah, hasil pendapatan juga adalah yang terbesar dalam sejarah, yang belum pernah dikecapi oleh Sarawak selama ini.
Abdul Karim berkata, acara itu bukan sahaja menawarkan program menarik tetapi turut merangsang ekonomi setempat, khususnya sektor perhotelan yang kini sudah penuh ditempah.
Sehubungan itu, beliau menyarankan orang ramai pergi secara berkongsi kereta (car pool) bagi mengelak kesesakan lalu lintas yang teruk disebabkan banyak jalan akan ditutup pada masa itu.
Sumber: Utusan Borneo
Sertai Telegram kami untuk mendapat berita-berita terkini