Sarawak mampu mencapai sasaran kemasukan lima juta pelawat ke negeri ini pada 2025 dengan penganjuran pelbagai acara dalam kalendar pelancongan negeri.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah, berkata sasaran itu mampu dicapai hasil kerjasama kementeriannya, didorong oleh penganjuran pelbagai acara.
Malah tambahnya, ia turut didorong dengan sokongan syarikat penerbangan milik negeri yang dijangka membawa pelancong ke negeri ini.
Beliau turut memaklumkan jumlah kemasukan pelawat yang tertinggi pernah dicapai Sarawak adalah pada 2019, dengan seramai 4.6 juta pelawat.
Abdul Karim, yang juga Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan, berkata Sarawak pada tahun hadapan akan bermula dengan gemilang menerusi Konsert Jelajah Ulang Tahun ke-50 Boney M yang akan berlangsung pada 4 Januari 2025.
Katanya, ia kemudian disusuli dengan Piala Dunia Kriket Wanita T20 Bawah 19 Tahun yang dijadual berlangsung pada 18 hingga 28 Januari 2025 di Padang Kriket Borneo, Petra Jaya.
Sumber: Suara Sarawak
Sertai Telegram kami untuk mendapat berita-berita terkini