Polis Belanda memaklumkan pihaknya sedang menyiasat laporan mengenai keganasan polis terhadap penunjuk perasaan pro-Palestin.
Polis Amsterdam dalam satu hantaran di platform X berkata, pihaknya menyedari rakaman dalam talian yang menunjukkan anggota polis memukul penunjuk perasaan yang sudah dibebaskan selepas dibawa keluar dari lokasi protes.
Video yang tular itu, menunjukkan individu dipukul dengan belantan oleh polis yang memakai peralatan rusuhan, seolah-olah ketika mereka sedang berjalan keluar selepas dibebaskan di kawasan pelabuhan barat Amsterdam.
Seramai 281 penunjuk perasaan ditahan ketika mereka berhimpun di pusat bandar Amsterdam, mencabar larangan yang dikenakan selepas insiden keganasan susulan perlawanan bola sepak antara pasukan Ajax dan kelab Israel, Maccabi Tel Aviv, minggu lalu.
Penunjuk perasaan yang ditahan dibawa dengan bas dan dihantar ke lokasi di pinggir bandar sebelum dibebaskan.
Sumber: Berita Harian
Sertai Telegram kami untuk mendapat berita-berita terkini