Sebuah pesawat Boeing 787-9 Dreamliner Hainan Airlines, yang berlepas dari Fiumicino pada 9.55 pagi menuju Shenzhen, China terpaksa berpatah balik ke Lapangan Terbang Fiumicino dan mendarat sekitar pukul 11.00 pagi akibat kebakaran pada enjin.
Pesawat yang membawa 249 penumpang dan 16 anak kapal itu berjaya mendarat semula dengan selamat tanpa sebarang kecederaan.
Menurut Pengawal Pantai Itali, kebakaran itu dipercayai berpunca akibat "bird strike", iaitu insiden burung bertembung dengan pesawat, yang sering berlaku semasa fasa berlepas atau pendaratan.
Dalam satu kenyataan, Hainan Airlines memohon maaf atas kesulitan yang dialami dan menyediakan pelbagai pilihan kepada penumpang yang terjejas, termasuk penerbangan alternatif atau bayaran balik serta pampasan.
Pihak berkuasa masih belum mengesahkan sejauh mana kerosakan yang dialami pesawat itu serta memaklumkan bahawa operasi trafik udara tidak terjejas, dan tiada kelewatan berlaku bagi penerbangan lain.
Sumber: Harian Metro
Sertai Telegram kami untuk mendapat berita-berita terkini