KUALA LUMPUR: Penyanyi Yuna, 37, meminta netizen yang tak menyukai imej dan penampilannya agar tidak mengikutinya dalam media sosial.
Menerusi hantaran dalam Instagram, Yuna berkata, ramai menyarankannya mengabaikan komen negatif diterima.
Namun, penyanyi lagu Dan Sebenarnya itu berpendapat isu itu tidak harus didiamkan, sebaliknya harus ditangani.
Ini kerana, kata Yuna, apa akan jadi kepada masyarakat sekiranya terus membenarkan orang bercakap sesuka hati.
"Saya terkejut masih terima komen negatif bersifat sinis dan kasar dalam usia 37 tahun dan sudah 15 tahun memperjuangkan muzik.
"Lebih teruk apabila ada yang menyarankan saya menanggalkan hijab atau menghakimi saya tanpa cuba memahami posisi saya," tulisnya.
Yuna berkata, komen seperti itu bukan hanya menyakitkan, tetapi mencerminkan sikap toksik yang tidak sepatutnya dipertahankan dalam masyarakat.
"Apakah ini yang kita inginkan dalam masyarakat? Bukankah kita diajar saling mencintai dan menyokong satu sama lain?
"Apa yang saya lakukan sehingga anda begitu marah kepada saya? Sedangkan kita tak pernah berjumpa," luah Yuna.
Ujar Yuna lagi, mereka yang mengatakannya sudah berubah tidak benar-benar mengenalinya.
"Saya ingin menegaskan jika anda tidak puas dengan siapa saya sekarang atau tidak menyukai perubahan saya, mohon tidak mengikuti saya lagi.
"Bagi mereka yang merasa kehilangan 'yuna yang dulu', ingatlah bahawa anda juga tidak benar-benar mengenal saya yang lama.
"Akhir kata, saya mengirimkan kasih dan cahaya kepada semua pembenci, kerana nampaknya mereka sangat memerlukan," kata Yuna.
Bagaimanapun, Yuna berterima kasih kepada netizen yang tetap mendukung dan memahami dirinya.
Menerusi entri berkenaan, Yuna juga mengajak masyarakat untuk saling menghargai dan menyayangi.
Sumber: Berita Harian
Oleh Serimah Mohd Sallehuddin