KUCHING, 16 November – Tahun 2026 disifatkan sebagai fasa kelahiran semula buat Aziz Harun, selepas hampir sedekad mewarnai industri muzik menerusi lagu popularnya, 'Senyum'.
Malah, penyanyi kelahiran Brunei Darussalam itu kini melangkah lebih yakin dan menyimpan hasrat untuk mempunyai satu standalone showcase di Sarawak.
Aziz atau nama sebenarnya Abdul Aziz Harun (28), mengakui penampilannya di Kuching baru-baru ini membakar semangatnya untuk terus mendekati peminat di kepulauan Borneo dengan lebih dekat.
“Ia sememangnya satu impian besar buat Aziz untuk mengadakan persembahan solo di rantau ini, lebih-lebih lagi apabila lokasinya strategik bukan sahaja untuk peminat di Sarawak, malah turut dekat dengan Brunei dan Sabah.
“Jika impian itu menjadi kenyataan, pastinya ia menjadi satu momen 'dream come true' buat Aziz,” katanya.
Mengulas mengenai perjalanan seninya, Aziz meluahkan rasa syukur kerana tahun 2026 menjadi titik permulaan baharu yang cukup bermakna menerusi lagu 'Kota Ini Tak Sama Tanpamu' dan 'Telepati'.
“Tahun 2026 telah memberikan kepuasan sepenuhnya kepada saya. Ia merupakan satu pengenalan semula kepada Aziz Harun selepas 10 tahun,” katanya.
Malah, beliau mendedahkan acuan muzik menerusi lagu 'Telepati' bakal menjadi identiti serta hala tuju utama perjalanan muziknya pada tahun 2027.
Menyentuh perancangan tahun hadapan, sebagai permulaan penyanyi itu merancang untuk melancarkan sebuah lagu raya baharu.
Selain itu, beliau juga mendedahkan akan lebih selektif dalam memilih kolaborasi, memandangkan beliau mahu memberikan lebih tumpuan kepada penglibatannya di belakang tabir sebagai pencipta lagu dan penerbit.
Jelasnya, beliau turut teruja untuk meneroka kerjasama seni bersama bakat-bakat dari rantau Borneo, termasuk dari Miri dan Brunei.
Beliau berkata demikian dalam sesi temu bual khas bersama Bilik Berita CATS, sempena Konsert 'Manggung di Muara' di Kuching, baru-baru ini.
Mengulas mengenai penampilannya pada konsert itu, Aziz menyifatkan persembahan berkenaan sebagai satu pengalaman yang cukup bermakna, apatah lagi peluang untuk membuat persembahan di Kuching bukan sesuatu yang kerap diperolehnya.
“Crowd di sini memang 'gila' dan suasananya sangat meriah. Tenaga yang ditunjukkan oleh peminat di Sarawak memang berbeza.
“Bukan selalu saya berpeluang membuat persembahan di Sarawak, jadi saya benar-benar dapat merasai sokongan dan semangat yang diberikan oleh mereka,” katanya.
Sehubungan itu, beliau berharap dapat kembali membuat persembahan di Sarawak dengan lebih kerap, termasuk menerusi penganjuran pelbagai festival muzik di negeri ini.
#BilikBeritaCATS #CATSFM #Umobile
Back