SIBU, 5 November - Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Sarawak melalui JPJ Cawangan Sibu memeriksa sebanyak 210 buah kenderaan pelbagai jenis dalam Ops Pemandu Warga Asing (PEWA) dan Ops Motosikal yang dilaksanakan di sekitar bandar Sibu, hari ini.
Operasi secara rondaan dan pemantauan itu bertujuan meningkatkan tahap pematuhan pengguna jalan raya terhadap peraturan dan undang-undang yang berkuat kuasa.
Hasil operasi mendapati beberapa kesalahan dikesan, antaranya tidak menggunakan tali pinggang keledar semasa memandu, tidak memiliki lesen memandu, lesen memandu tamat tempoh serta pelbagai kesalahan teknikal kenderaan.
Selain itu, sebuah motokar disita kerana Lesen Kenderaan Motor (LKM) tamat tempoh dan tiada perlindungan insurans yang sah.
JPJ Sarawak menegaskan semua tindakan penguatkuasaan serta penyitaan dilaksanakan selaras dengan peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.
Pihaknya turut mengingatkan semua pengguna jalan raya supaya sentiasa memastikan lesen memandu, LKM dan perlindungan insurans masih sah. Pemandu juga dinasihatkan mematuhi peraturan keselamatan, termasuk menggunakan tali pinggang keledar serta memastikan kenderaan berada dalam keadaan baik dan selamat digunakan.
JPJ Sarawak akan terus mempergiatkan operasi rondaan, pemantauan dan penguatkuasaan secara berterusan bagi meningkatkan pematuhan undang-undang serta memastikan keselamatan pengguna jalan raya sentiasa menjadi keutamaan.
Sumber: JPJ Negeri Sarawak
Back