KUCHING, 5 November - Sebanyak 679 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) dalam keadaan siap siaga di seluruh Sarawak sebagai langkah kesiapsiagaan menghadapi Monsun Timur Laut (MTL), khususnya bagi memastikan keselamatan dan kebajikan penduduk sekiranya berlaku banjir atau tanah runtuh.
Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, persediaan turut merangkumi penyediaan pangkalan hadapan, bekalan makanan kering serta kemudahan logistik bagi memastikan bantuan dapat disalurkan dengan segera, terutama ke kawasan yang berisiko terputus hubungan.
“Saya ingin menegaskan bahawa kita telah pun membuat persiapan bagi menghadapi MTL ini. Fokus utama kita adalah untuk mewujudkan pusat pemindahan sementara.
“Sudah tentu, usaha ini memerlukan kerjasama bukan sahaja daripada Kementerian Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti, tetapi juga perlu mendapat kelulusan daripada Kementerian Pengurusan Bencana,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas Majlis Pertukaran Memorandum Perjanjian (MoA) antara Sedidik Sarawak dan OCI Terrasus Sdn Bhd serta Pelancaran Awal Buku Cerita Kanak-Kanak dan Guru Terbitan Sedidik, hari ini.
Menurut Fatimah, aspek kesiapsiagaan turut melibatkan penyelarasan sumber manusia, sistem komunikasi serta penyediaan bot dan kenderaan bagi melancarkan operasi pemindahan mangsa serta pengagihan bantuan.
Katanya, penyediaan pangkalan hadapan amat penting bagi memastikan bekalan keperluan asas, khususnya makanan kering, dapat ditempatkan lebih awal di lokasi strategik untuk membantu penduduk yang mungkin terputus hubungan akibat bencana.
Beliau menjelaskan, pengurusan bantuan bencana dilaksanakan secara bersepadu menerusi kerjasama pelbagai agensi di bawah penyelarasan Jawatankuasa Pengurusan Bencana peringkat negeri dan bahagian.
Dengan persediaan awal ini, penduduk di kawasan berisiko banjir dan tanah runtuh dijangka dapat dipindahkan dengan lebih pantas dan menerima bantuan tanpa lengah sekiranya berlaku kecemasan sepanjang tempoh monsun.
Sumber: Unit Komunikasi Awam Sarawak - UKAS
Back