SEPANG, 2 November - AirAsia menggesa para penumpang yang akan melakukan perjalanan pada musim puncak akhir tahun ini supaya membuat perancangan awal berikutan peningkatan jumlah penumpang serta risiko cuaca buruk berterusan.
Syarikat penerbangan tambang rendah berkenaan mengesahkan bahawa fenomena Monsun Timur Laut (MTL) yang bermula sejak 27 Oktober lalu berpotensi membawa hujan lebat, banjir, serta gangguan operasi penerbangan berikutan ribut petir.
Pihak AirAsia mengeluarkan beberapa panduan utama bagi memastikan kelancaran urusan penerbangan penumpang di seluruh terminal penerbangan.
"Penumpang digalakkan untuk sentiasa mendapatkan maklumat terkini dan mengambil langkah berjaga-jaga yang sewajarnya sebelum memulakan perjalanan," menurut kenyataan media rasmi AirAsia pada Isnin.
Bagi mengelakkan kesesakan, penumpang dinasihatkan tiba sekurang-kurangnya dua jam sebelum waktu berlepas bagi penerbangan domestik dan tiga jam bagi penerbangan antarabangsa.
Penggunaan perkhidmatan daftar masuk kendiri (self check-in) amat digalakkan menerusi aplikasi AirAsia MOVE atau laman sesawang airasia.com yang boleh dilakukan bermula 14 hari sehingga satu jam sebelum penerbangan.
AirAsia turut mengingatkan penumpang supaya memuat naik alamat e-mel serta nombor telefon terbaharu dalam sistem tempahan bagi membolehkan notifikasi perubahan jadual disampaikan dengan pantas.
Bagi penumpang yang memerlukan bantuan khas seperti kerusi roda, tempahan awal boleh dibuat menerusi bahagian My Bookings dalam aplikasi AirAsia MOVE sekurang-kurangnya empat jam sebelum waktu penerbangan.
Manakala bagi penumpang wanita hamil yang melebihi usia kandungan 27 minggu, mereka dikehendaki mengemukakan sijil perubatan rasmi yang diluluskan doktor sebelum dibenarkan menaiki pesawat.
Sumber: BERNAMA
Back