BAU – Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) mahu kepakarannya digerakkan dengan lebih proaktif, demi manfaat langsung kepada masyarakat, terutama dalam aspek kesihatan awam.
Naib Canselor UNIMAS, Prof Dr Ahmad Hata Rasit berkata, peranan universiti tidak seharusnya dilihat dari sudut kecemerlangan akademik semata-mata, sebaliknya kehadirannya juga perlu dirasai oleh masyarakat.
Menurut beliau, hubungan antara universiti dan masyarakat perlu dibentuk sebagai satu komitmen berterusan dan tidak terhenti menerusi pelaksanaan program tertentu sahaja.
Sehubungan itu, pelaksanaan Program KHUAM KPT Prihatin Madani di Bau, semalam, diharap menjadi permulaan kepada usaha memperluaskan jaringan kerjasama yang memfokuskan kepada keperluan kesihatan masyarakat.
Katanya, UNIMAS dan KHUAM mempunyai pelbagai kepakaran dalam bidang perubatan yang boleh digerakkan demi manfaat komuniti.
Untuk itu, pendekatan yang lebih fleksibel dan responsif perlu diterapkan bagi memastikan kepakaran yang dimiliki universiti benar-benar memenuhi keperluan masyarakat.
“Jangan hanya menunggu masyarakat untuk datang kepada kita, sebaliknya kita juga perlu pergi kepada mereka,” katanya.
Beliau berharap inisiatif seumpama itu dapat menjadi permulaan kepada usaha membawa lebih banyak perkhidmatan kesihatan kepada komuniti di seluruh negara.
#BilikBeritaCATS #CATSFM #Umobile
Back